Kata-kata Aluan C.E.O.
TEKS UCAPAN EN. AHMAD ZAKUAN BIN KHAIRUDDIN, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PUSRAWI INTERNATIONL COLLEGE OF MEDICAL SCIENCES (PICOMS) SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENJENAMAAN SEMULA KOLEJ OLEH YB DATO SRI JAMIL KHIR BAHAROM, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI MERANGKAP PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP) PADA 31 MAC 2011.
Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi atau PICOMS adalah satu nama baru di arena persada IPTS. PICOMS adalah anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang dipengerusikan oleh YB Menteri.
Sejarahnya bermula sebagai Pusat Latihan Jururawat dalam tahun 1994, kemudian sebagai Kolej Kejururawatan Pusrawi pada tahun 1998 dengan menawarkan hanya Diploma Kejururawatan, kini telah bertukar menjadi PICOMS setelah mendapat kelulusan rasmi dari KPT pada bulan November 2010 dengan penawaran kursus-kursus baru bidang sains perubatan & sains kesihatan.
Penubuhan PICOMS bukan untuk bersaing dengan IPTS lain kerana kami mempunyai identiti tersendiri. Walaupun sekarang terdapat banyak IPTS yang menawarkan kursus bidang sains perubatan dan kesihatan, namum PICOMS agak berlainan kerana matlamat utama kami bukan untuk mendapat keuntungan semata-mata tetapi PERTAMANYA yang paling penting pendidikan yang disediakan oleh Kolej yang menitikkanberatkan nilai-nilai murni insan berpaksikan prinsip-prinsip Islam dan KEDUANYA kemudahan bantuan Baitulmal MAIWP bagi yuran pengajian dan bantuan perbelanjaan harian, iaitu wang saku setiap hari yang tidak terdapat di IPTS yang lain. Ini semua disalurkan oleh Baitulmal MAIWP melalui PICOMS sebagai anak syarikat, kepada pelajar-pelajar dari golongan asnaf.
Oleh kerana kelainan pendekatan ini, maka walaupun usia PICOMS tidak sampai setahun jagung, baru usia 5 bulan, namun suka saya berkongsi bersama-sama Tuan-Tuan & Puan-Puan bahawa sehingga hari ini, ALHAMDULLILLAH, Jabatan Pemasaran & Hal Ehwal Pelajar telah menerima hampir 2000 permohonan untuk kursus-kursus yang akan ditawarkan. Jumlah ini tidak termasuk jumlah pelajar dari Wilayah Persekutuan yang mengambil SPM tahun lepas, yang terdiri dari golongan keluarga asnaf penerima bantuan Baitulmal MAIWP, iaitu seramai kira-kira 1000 orang. Pelajar lepasan SPM dari golongan keluarga asnaf ini akan kita beri tawaran khas untuk mengikuti program Diploma dengan bantuan Baitulmal MAIWP.
Dengan program-program baru peringkat Diploma saperti Farmasi, Pembantu Perubatan, Fisioterapi, Sains Perubatan, Perubatan Islam, Sains Kesihatan dan lain-lain lagi, dimana bakal-bakal graduan akan berurusan terus dengan pesakit, PICOMS juga bertanggungjawab menanamkan konsep penjagaan pesakit secara holistik, merangkumi aspek spiritual, mental, fisikal dan sosial semasa latihan kepada pelajar-pelajar.
Aspek kesejahteraan mental pelajar juga akan di utamakan di PICOMS kerana kita percaya kejayaan pelajar juga bergantung kepada kestablian emosi, kemantapan siasah & personaliti, kecerdasan fizikal serta pergaulan sosial yang positif. Pendekatan ini akan kita lakukan dengan memasukkan banyak program-program PPD atau Pembangunan Personaliti & Professional merangkumi tazkirah, kuliah, kem-kem kepimpinan, kemahiran komunikasi, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, sukan dan lain-lain lagi.
PICOMS juga sedang berusaha untuk menjalankan program secara usahasama dengan universiti tempatan dan luar negara. Sehingga hari ini, hasil lawatan PICOMS ke luar negara, telah berjaya mendapat kebenaran dari Universiti Al-Azhar & Universiti Mansoura, Mesir, Jordan University of Science & Technology (JUST) & Universiti Hashimite, Jordan untuk program usahasama peringkat Ijazah dalam bidang Doktor Perubatan dan Doktor Pergigian. PICOMS juga telah menerima permintaan & kunjungan dari Dekan & Pengarah School of Health & Bioscience, University of East London, UK pada minggu lepas untuk program usahasama dengan University of East London dalam bidang Kejururawatan.
Namun begitu, usaha juga sedang dibuat untuk program usahasama dengan universiti-universiti tempatan didalam bidang Perubatan,Pergigian dan Farmasi. Kita berharap universiti-universiti tempatan IPTA dapat menyokong & membantu PICOMS dalam program-program usahasama peringkat Ijazah.
Fungsi & matlamat PICOMS bukan setakat pendidikan dan latihan sahaja tetapi menjurus juga kepada perkhidmatan. Maka, PICOMS dengan bantuan MAIWP akan membina pusat-pusat hemodialisis yang akan diurustadbirkan oleh PICOMS. Langkah ini akan memberikan peluang latihan yang lebih luas untuk semua pelajar-pelajar yang
berkaitan dengan bidang ini, disamping dapat menyediakan latihan amali bagi kursus post basic renal untuk jururawat-jururawat yang berminat. Apabila Jabatan Fisioterapi berjalan dengan lancar nanti, PICOMS juga bercadang meneruskan pelan perkhidmatan dengan menubuhkan pusat-pusat Fisioterapi, yang dapat membantu pesakit-pesakit yang mermerlukannya.
Kita jangkakan kemasukan pelajar-pelajar akan meningkat pada masa akan datang dan perancangan juga sedang dibuat untuk pengambilan pelajar-pelajar dari luar negara untuk kursus Kejururawatan. Dengan peningkatan pelajar pada masa akan datang dan bagi menampung latihan klinikal pelajar-pelajar, selain dari Hospital Pusrawi dan hospital kerajaan, PICOMS akan berusaha untuk menyediakan sebuah teaching hospital , agar tidak terlalu bergantung kepada hospital-hospital kerajaan.
Banyak telah dibuat selepas penubuhan PICOMS dan banyak lagi sedang dirancang oleh PICOMS. Ini termasuk menaiktarafkan kemudahan-kemudahan pendidikan dan infrastruktur, suasana persekitaran kerja yang harmoni dan menguntungkan untuk kakitangan & keluarga, PICOMS akan membantu & memberi peluang mengasah bakat profesional kakitangan masing-masing supaya hasilnya dapat kita kongsi bersama-sama, sesuai dengan salah satu matlamat penubuhan IPTS oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Dari segi pengekalan atau sustainability , PICOMS beruntung kerana mempunyai MAIWP yang sentiasa membantu demi kesejahteraan golongan Ummah yang memerlukan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga pengurusan MAIWP, yang telah banyak membantu dalam usaha pengembangan PICOMS, lebih lebih lagi kepada YB Menteri sebagai Pengerusi MAIWP.
Kita yakin dengan usaha-usaha pengembangan PICOMS ini, akan memenuhi kriteria bagi membolehkan PICOMS mencapai taraf Kolej Universiti tidak lama lagi, seterusnya menjadikan PICOMS sebagai pilihan kolej universiti untuk pendidikan tinggi, kepakaran & profesional.
PICOMS akan terus bergerak, dengan matlamat utama untuk memastikan falsafah, visi dan misi PICOMS akan tercapai. Bagi pihak PICOMS, saya ingin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada sektor berkaitan pendidikan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hospital-hospital latihan pelajar dan lain-lain pihak diatas sokongan dan bantuan yang diberikan. Terima kasih juga khasnya kepada Yayasan Bank Rakyat kerana sudi menaja aktiviti ko-kurikulum pelajar untuk tiga program berasingan, dengan jumlah sebanyak RM75,000. Semoga usaha ini diberkati ALLAH & kita berharap sokongan dari semua pihak ini sentiasa berterusan pada masa akan datang.
Akhir sekali, saya bagi pihak pengurusan dan pelajar-pelajar, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Menteri kerana sudi melapangkan masa menyempurnakan perasmian majlis, juga kepada MAIWP dan anak syarikat MAIWP, agensi-agensi dibawah Menteri di JPM, Tuan/Puan, wakil-wakil media dan semua yang terlibat didalam usaha pengembangan PICOMS ini. Terima kasih juga kepada semua kakitangan PICOMS atas usaha gigih melaksanakan pelan-pelan perancangan. Akhir kata, bagi pihak pengurusan, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kelemahan sebelum, semasa atau selepas majlis perasmian ini .
Sekian saja. Wabillahhi taufik wasalamualaikum w.r.b.t.